Misi Dakwah Sabah 2015 di Pulau Mabul, Sipadan, Sabah


Bukan perkara mudah untuk menyampaikan dakwah di tempat yang berbeza adat dan budaya, apatah lagi apabila lokasinya jauh dan terpisah dari tanah besar.

Di sebalik keindahan Pulau Mabul, Sipadan, Sabah, mungkin jarang masyarakat yang menyedari, keindahan Islam belum ditemui oleh sebahagian penghuni di pulau ini.

Pulau Mabul ini merupakan sebuah pulau terpencil yang sangat cantik dengan kejernihan air lautnya serta pasir pantainya yang memutih, masih belum dicemarkan dengan industri pelancongan.

Dengan menaiki bot laju, selama 45 minit dari Semporna, aktivis Muslim Care Malaysia (MCM) menganjurkan misi dakwah dan perubatan kepada penduduk pulau tersebut.

Pulau yang dihuni oleh lebih 3300 penduduk dengan majoriti adalah muslim, namun masih ramai yang belum mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar.

Kesemuanya hidup dalam keadaan yang daif serta mempunyai masalah air bersih yang kritikal di samping masalah kesihatan yang menjadi salah satu sebab kematian yang tidak diketahui puncanya.

Menyedari hakikat ini, badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM) memilih Pulau Mabul bagi melaksanakan Misi Dakwah dan Perubatan pada 7 November hingga 9 November lalu.

Ini adalah misi yang keempat MCM memilih pulau itu sejak tahun 2011, tahun 2014 MCM tidak dapat menjalankan misinya disebabkan memberikan fokus kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur (Kelantan).

Sejak misi terakhir (2013), tiada mana-mana NGO yang datang untuk menjalankan program perubatan dan kerana itulah penduduk-penduduk kampung pulau ini terlalu mengharapkan kehadiran MCM.

Misi ini diketuai oleh Setiausaha Kerja MCM, Abdul Razak Mohamed dan dibantu oleh beberapa anggota sukarelawan perubatan yang pakar dalam bidang perubatan masing-masing.

Menurut Abdul Razak, objektif utama  misi ini adalah untuk menyampaikan dakwah kepada penduduk kampung yang masih jauh ketinggalan dari segi ilmu agama.

“Kaedah dakwah dipelbagaikan dan MCM telah mempraktiskan beberapa kaedah sejak tahun 2009 lagi di dalam setiap misi dan ia bergantung kepada keperluan lokasi misi.”

“Kaedah yang digunakan ialah melalui perubatan, sunathon, pergigian, Smart Solat, Klinik Al-Fatihah, hiburan sambil tazkirah (Tazking) dan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf,” katanya ketika ditemui dalam Program Misi Dakwah Sabah 2015 di Pulau Mabul, Sipadan, Sabah, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, ada satu lagi kaedah yang digunakan iaitu melalui perubatan Islam, namun pada kali ini ia tidak dapat dijalankan berikutan tiada ustaz yang berkelapangan untuk turut serta.

Melalui kaedah-kaedah ini, mesej dakwah dapat disampaikan terus kepada masyarakat kampung dan hasilnya diperolehi apabila amalan kurafat seperti mandi tolak bala di bulan Safar sudah tidak lagi diamalkan.

Masjidnya juga semakin ramai dikunjungi oleh makmum untuk bersolat fardu terutamanya di kalangan anak-anak muda kampung.

Pelajar kelas KAFA bertambah daripada 30 orang pada tahun 2011 menjadi 130 orang pada tahun ini, dan ini menunjukkan mereka semakin menghayati ajaran Islam yang sebenar.

“Namun begitu, masalah utama yang dihadapi oleh jawatankuasa madrasah di kampung ini adalah dana untuk menampung kos operasi sekolah agama tersebut.”

“Seperti yang diberitahu, bayaran gaji untuk guru-guru yang mengajar di kelas ini semakin berkurangan dan dana yang dikumpul hanya dapat bertahan sehingga hujung tahun ini sahaja,” kata Abdul Razak.

Katanya lagi, usaha sedang dilakukan untuk mengumpul dana daripada penyumbang-penyumbang yang ikhlas menyumbang untuk kerja-kerja dakwah di kawasan pedalaman.

Melalui usaha ini, MCM juga berhasrat melahirkan barisan pelapis para da’ie yang akan menyambung kerja-kerja dakwah di pulau ini.

Sebagai program jangka panjang, MCM telah menaja seorang pelajar tahfiz dari pulau ini untuk dijadikan pembimbing agama kepada penduduk kampung.

Kini, pelajar tersebut sedang berada di tahun akhir pengajiannya di Bangi, Selangor dan diharapkan selepas ini akan ada lagi pelajar-pelajar lain yang akan mengikuti jejak langkahnya.

Misi kali ini juga menjalankan perkhidmatan rawatan pergigian kepada penduduk kampung, khasnya untuk anak-anak mereka dan ini adalah kali pertama mereka menerima perkhidmatan tersebut.

Amat simpati sekali kepada mereka kerana dengan ketiadaan klinik kesihatan, ramai penduduk meninggal dunia tanpa diketahui punca kematian.

Anak-anak kecil juga ramai yang berpenyakit tanpa dirawat, dan misi kali ini juga membawa seramai 21 orang pegawai perubatan yang menawarkan perkhidmatan mereka secara percuma.

Pulau Mabul tidak mempunyai klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta dan penduduk terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan tradisional sekiranya ada di antara mereka jatuh sakit.

Ini adalah kerana, rata-rata mereka tidak mampu, apatah lagi kos pengangkutan ke tanah besar (Semporna) agak tinggi dan di luar kemampuan mereka.

Pegawai Kesihatan kerajaan hanya datang melawat setahun sekali sahaja, dan kerana itu, misi MCM kali ini menfokuskan kepada perubatan dan sunathon selain program-program dakwah yang lain.

Program sunathon iaitu berkhatan beramai-ramai turut dijalankan kepada 80 kanak-kanak seawal 7 hingga 16 tahun, dan ada juga peserta dewasa yang turut sama apabila menyedari kebersihan itu adalah faktor utama dalam penjagaan kesihatan.

Selain daripada program Klinik Bergerak untuk pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan, misi ini turut menjalankan program pemeriksaan gigi.

Sambutan yang hangat diberikan oleh penduduk kampung apabila mereka keluar berduyun-duyun kerana sememangnya mereka menantikan program-program sebegini di tempat mereka.

Exco Kesihatan II MCM, Dr. Helmi Ibrahim, berkata, MCM memilih pulau ini bukan untuk melancong, bukan untuk suka-suka tapi atas pertimbangan penduduk pulau ini masih ketinggalan dari segi agama Islam.

“Kita harus sedar, di sebalik keindahan pulau yang merupakan pusat pelancongan ini, masih ada golongan yang memerlukan perkhidmatan kita.”

“Tujuan dan matlamat kita adalah berdakwah, dan program kebajikan dan kesihatan yang dijalankan ini adalah cara bagi kita menyampaikan dakwah, bersesuaian dengan keadaan penduduk pulau ini,” kata Dr. Helmi.

Katanya lagi. MCM sangat berharap pulau ini bukan hanya dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara namun ianya harus dikunjungi para pendakwah dengan lebih kerap agar syiar Islam dapat diluaskan.

Ketua Masyarakat, Mubin Paraja, 49, berkata, penduduk kampung amat menghargai segala program yang dilakukan oleh MCM, mahupun sesiapa sahaja yang datang ke pulau ini untuk membantu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, khasnya kepada MCM yang sentiasa tidak putus-putus berusaha menyampaikan sumbangan daripada penyumbang-penyumbang yang ikhlas.”

“Tanpa bantuan daripada penyumbang ini, misi yang ingin dilaksanakan agak mustahil dan kami sentiasa mendoakan agar mereka ini mendapat saham akhirat iaitu ganjaran yang berterusan meskipun mereka telah tiada di dunia ini,” kata Mubin.

Kepada mereka yang ingin turut sama menyumbang untuk membantu MCM meneruskan program dakwah dan perubatan mereka, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Muslim Cara Malaysia di Maybank (5644-9041-3882), Bank Islam (14-0140-1014-7470), Bank Muamalat (14-0100-0765-4717) dan RHB Bank (26-2120-0000-4747).

Segala bentuk pertanyaan boleh menghubungi Setiausaha Kerja MCM, Abdul Razak Mohamed di talian 0122067233.

Filters: , , ,