Misi Dakwah & Perubatan Pulau Mabul 2016


Oleh: Syed Hussein

Foto: Hj Hisham, Mohd Rashidi

Alhamdulillah, Muslim Care Malaysia telah melaksanakan Misi Dakwah Sabah, Pulau Mabul kali ke-4 dengan jayanya pada 8-10 Oktober 2016. Misi terbesar kali ini yang disertai oleh 50 sukarelawan dan kebanyakkannya adalah pengamal perubatan.

Program yang dijalankan adalah program dakwah seperti ceramah iaitu forum Maal Hijrah oleh Ustaz Hadi Talha dan Ustaz Norazli Musa yang dipengerusikan oleh Sdr Haniff Abd Rahman. Program diadakan di Masjid Pulau Mabul dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung yang dahagakan ilmu.

Program seterusnya adalah program hiburan iaitu Tazking (Tazkirah + Busking) yang dipersembahkan oleh kumpulan Haniff & the Agency. Hiburan santai yang diselang- selikan dengan tazkirah ringkas mendapat tempat dihati anak-anak muda dan kanak-kanak pulau ini.

Program pendidikan pula dijalankan dengan aktiviti Smart Solat dan klinik Alfatihah kepada kanak-kanak serta orang dewasa. Brushing drill iaitu pendidikan memberus gigi dengan betul juga diadakan bagi membangkitkan kesedaran tentang kebersihan mulut.

Bagi program kebajikan, program jejak asnaf iaitu sumbangan dari rumah ke rumah keatas fakir miskin di pulau ini. Sumbangan berbentuk zakat beras serta keperluan asas. Wakaf Al-quran juga diberikan yang diterima daripada sumbangan orang ramai. Seramai 100 keluarga telah menerima sumbangan ini.

Program kesihatan terbahagi kepada 3 bahagian iaitu yang pertama, Klinik pemeriksaan kesihatan yang dimana pemeriksaan kesihatan percuma diberikan, seramai 121 orang yang diperiksa. Kedua adalah klinik pergigian bergerak, yang diketuai oleh Dr. Nurul Hanim Othman beserta kekuatan 4 doktor gigi yang memberikan khidmat pemeriksaan gigi dan cabutan percuma seramai 68 orang. Program ketiga ialah program khitan yang diketuai oleh Dr. Helmi, seramai 46 kanak-kanak lelaki, 49 kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa telah berjaya dikhitankan.

Alhamdulillah setelah 4 kali misi kami di sini, telah nampak perubahan yang ketara keatas penduduk kampung ini. Sekarang jemaah subuh berjemaah juga sudah bertambah dimana waktu pertama kali kami hadir, hanya beberapa orang tak sampai satu saf yang mengerjakan solat subuh di masjid. Kini 4 saf jemaah bersolat di masjid waktu subuh. Kini perkara khurafat di perkuburan juga telah berkurangan daripada kunjungan kami beberapa tahun dahulu.

Kami bersyukur atas kejayaan program ini dan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang yang tidak putus-putus memberi kepercayaan kepada kami untuk membantu orang yang memerlukan. Semoga dakwah di Pulau ini terus subur dan kejahilan dapat dihapuskan sepenuhnya pada masa akan datang InsyAllah.

Filters: , , , ,